Pada minggu ini, saya fikir semua sekolah agak sibuk kerana sesi persekolahan tahun 2015 akan bermula pada Ahad, 11 Januari 2015 bagi sekolah-sekolah yang terletak di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Negeri-negeri lain pula akan memulakan sesi persekolahan tahun 2015 pada hari Isnin, 12 Januari 2015.
Pada kebiasaannya, pegawai-pegawai dari jabatan pendidikan negeri atau pejabat pendidikan daerah akan hadir ke sekolah untuk memantau persiapan pembukaan sesi persekolahan baharu dengan membuat pemeriksaan sekolah berdasarkan instrumen pemantauan awal persekolahan yang dikeluarkan oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, JNJK. Pihak sekolah hendaklah memastikan setiap murid ada 1 set buku teks, 1 meja, 1 kerusi supaya sesi pembelajaran murid tidak tergendala mulai hari pertama sesi persekolahan tahun 2015.
Namum semalam, pada pagi Ahad 4 Januari 2015, saya telah dikejutkan oleh panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sekolah, saudara Azuan yang memaklumkan seluruh sekolah terputus bekalan elektrik. Inilah antara fenomena yang berlaku kepada sekolah yang dibina di bawah projek PMC (Project Management Consultants) sebaik sahaja tempoh jaminan tamat. Pada hari ini, Isnin, 5 Januari 2015, kami bergelap sehingga jam 4.00 petang barulah bekalan elektrik dapat dipulihkan. Inilah nikmatnya bekalan elektrik. Bayangkanlah saudara-saudara kita yang menghadapi bencana banjir besar di Kelantan,Terengganu dan Pahang serta beberapa negeri yang lain. Keaadaannya lebih menyedihkan daripada ini. Syukur Alhamdulillah..keadaan kami jauh lebih baik.


